Penurunan Kadar Jenayah Di Sabah Tiada Kaitan Dengan Mana-Mana Parti Politik

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU : Penurunan kadar jenayah di negeri ini tidak mempunyai kaitan dengan pertukaran kerajaan ataupun disebabkan oleh mana-mana parti politik.

Sebaliknya penurunan daripada 5,627 kes sepanjang tahun 2019 kepada 3,758 kes tahun ini lebih menjurus kepada disebabkan penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali menegaskan, penurunan yang menjangkau 33.57 peratus itu amat ketara susulan pelaksanaan PKP sejak Mac lalu.

Katanya, ia secara tidak langsung banyak membantu disebabkan orang ramai mematuhi arahan itu memilih untuk lebih kerap duduk di rumah.

“Penurunan ini lebih disebabkan oleh perlaksanaan PKP di seluruh negeri selain kesedaran orang ramai yang lebih bimbang dengan tahap kesihatan masing-masing.

“Dakwaan kononnya ia disebabkan oleh pertukaran kerajaan atau berkaitan mana-mana parti politik adalah tidak benar sama sekali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal mengeluarkan sebuah artikel yang mendakwa kononnya kadar jenayah di Sabah mencatatkan penurunan semenjak kerajaan Warisan tumbang di tangan parti parti Gabungan Rakyat Sabah.

Artikel berkenaan turut mendakwa, kenaikan kadar jenayah mungkin disebabkan tindakan kerajaan terdahulu melantik individu yang sebelum itu bergelumang dengan kerjaya menyusahkan kehidupan orang lain

Hazani berkata, penguatkuasaan PKP itu dilihat sebagai antara faktor yang menutup peluang kepada penjenayah melakukan kegiatan mereka.

Namun katanya, kadar jenayah itu mungkin akan meningkat semula sebaik pandemik ini selesai berikutan masalah ekonomi kesan daripada pelaksanaan PKP.

“Kita minta semua pihak supaya tidak membuat tuduhan atau kenyataan yang boleh menimbulkan kekacauan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan tugas berlandaskan kepada undang-undang negara,” tegasnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

573