Polis Sabah Rampas Syabu 16 Kilogram Lebih

KOTA KINABALU, 31 Dis : Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 16.74 kilogram bernilai RM669,803 dalam satu serbuan di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata suspek berumur 28 dan 31 tahun itu ditahan oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam serbuan pada 6.35 petang di sekitar kawasan Lido Four Seasons Residence di sini. 

Beliau berkata polis berjaya merampas 17 bungkusan plastik berisi syabu di dalam sebuah pacuan empat roda Ford Ranger, dan setiap bungkusan dadah itu disembunyikan di dalam sebuah kotak yang dibalut secara rapi dipercayai untuk diedarkan kepada pembeli.

“Berdasarkan jumlah dadah ini, polis percaya ia berupaya memenuhi permintaan seramai 84,000 penagih dalam satu-satu masa,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun hasil ujian saringan air kencing salah seorang suspek didapati positif dadah.

Habibi berkata dalam serbuan sama polis turut merampas empat kenderaan iaitu Mercedes Benz, Toyota Hilux, Honda City serta motosikal Scooter Benelli, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya sabit kesalahan.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *