PKPD Kampung Numbak & Penempatan Telipok Tamat

KUALA LUMPUR, 13 Dis : Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan penempatan Telipok di Kota Kinabalu, Sabah tamat hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 6,776 ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini, dan sebanyak 175 kes kumulatif COVID-19 direkodkan di Kampung Numbak serta 224 kes di Penempatan Telipok sehingga 10 Dis.

“Bagaimanapun, sehingga kini KKM mengesahkan jumlah kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata PKPD di Zon A Taman Klebang Jaya, Taman Pinji Mewah, Perak tamat esok, kecuali bagi asrama pekerja kilang Yamaha diteruskan selama tujuh hari lagi bermula 15-21 Dis.

Beliau berkata selain itu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) daerah Kinta turut ditamatkan esok, kecuali kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta akan diteruskan pelaksanaan perintah itu sehingga 20 Dis.

“Bagi Zon A Taman Klebang Jaya, KKM melaksanakan 2,679 ujian saringan dan merekodkan sebanyak 37 kes kumulatif positif COVID-19, namun masih terdapat kes aktif positif melibatkan pekerja warga asing tertumpu di asrama pekerja kilang Yamaha.

“Manakala bagi Taman Pinji Mewah, KKM mengesahkan kesemua penduduk telah disaring sepenuhnya dan sebanyak lapan kes positif COVID-19, telah direkodkan di lokaliti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 655 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan daripada jumlah itu, seramai 587 individu telah dikompaun manakala 67 individu pula direman dan satu dijamin.

Beliau menjelaskan antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan melibatkan 292 individu, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (179), tidak memakai pelitup muka (99), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (75) dan lain-lain (10).

Mengenai Operasi Benteng pula, beliau berkata seramai 104 pendatang tanpa izin, dua tekong serta enam kenderaan darat dan sebuah bot dirampas.

Sementara itu Ismail Sabri berkata seramai 89,487 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 36 negara sejak 24 Julai.

Beliau berkata kesemua telah ditempatkan di 79 hotel dan 20 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, seramai 14,804 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 544 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 74,139 individu dibenarkan pulang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1626