Pasar Tamu Di Gaya Street Semakin Kembali Meriah

Pasar Tamu Gaya Street

KOTA KINABALU, 13 Dis : Suasana pasar mingguan atau ‘tamu’ mengikut bahasa tempatan di Jalan Gaya yang sebelum ini sepi kerana kekurangan pengunjung akibat penularan COVID-19, kelihatan semakin kembali meriah dengan kehadiran ramai pengunjung setelah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di banyak tempat di Sabah dilonggarkan baru-baru ini.

Tinjauan Bernama ke pasar di Jalan Gaya, juga dikenali sebagai ‘Gaya Street’, yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara ke sini mendapati, kian banyak gerai yang menjual pelbagai barangan seperti makanan, pakaian dan barang perhiasan dibuka dengan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan COVID-19.

Peniaga barangan kecantikan diri Radiyah Hasran, 48, berkata peniaga di Jalan Gaya kini boleh menarik nafas lega dengan kelonggaran itu yang membolehkan mereka kembali mencari pendapatan setelah terkesan akibat COVID-19.

“Sekarang ini lebih bagus, terutama macam kita yang memang berpendapatan harian, jadi saya rasa lebih baik bila ada kelonggaran PKPB ini. Walaupun sedikit sebanyak kes (positif COVID-19) agak naik, tetapi orang lebih suka kalau dilonggarkan sedikit SOP sebab saya rasa orang (ramai) pun boleh jaga SOP antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada 7 Dis lepas PKPB Sabah dilanjutkan 14 hari, namun beberapa kelonggaran diberikan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan termasuk dari segi lokasi dan masa operasi perniagaan, dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Peniaga barangan mutiara Dani Dayani Imbran, 32, pula berkata ramai pelanggan di Jalan Gaya terdiri daripada pelancong dari Semenanjung, dan kawalan ketat pintu masuk ke negeri Sabah sebelum ini telah menjejaskan perniagaan mereka.

“Sekarang memang sudah bolehlah.. sebelum ini, banyak yang terkesan dengan PKPB, ramai hilang kerja, hilang pendapatan, jadi memang patutlah dilonggarkan… apabila penerbangan ke Sabah dibolehkan kembali, sudah baik sikit (jumlah pengunjung),” katanya.

Seorang pengunjung, Latim Alip, 60, ketika ditemui di sini berkata beliau berharap semua peniaga dan pengunjung dapat mematuhi SOP ditetapkan walaupun kelonggaran telah diberikan di bawah PKPB kerana COVID-19 masih ada.

“Janganlah terlampau rapat-rapatlah, penjarakan itu ikut SOP lah…orang ramai kena patuh,” katanya.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman ketika ditemui berkata, kelonggaran PKPB adalah inisiatif kerajaan yang memberi manfaat besar kepada rakyat termasuk peniaga di Jalan Gaya selepas melalui waktu sukar sebelum ini.

“Ini satu inisiatif kerajaan yang amat baik untuk menghidupkan semula ekonomi dan memastikan peniaga-peniaga kita terus dapat membuat perniagaan dan menjana pendapatan mereka, tapi yang paling penting ialah mereka hendaklah mematuhi SOP, itulah vaksin sebenarnya bagi COVID-19,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *