Tempoh Kuarantin Hanya 10 Hari Bermula Esok

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati risiko jangkitan pasca kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa esok, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.

“Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati risiko jangkitan pasca kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

“Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sehingga kini beberapa negara sudah menyemak semula tempoh kuarantin wajib masing-masing.

“United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis pula mengambil tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4215