Pengeluaran KWSP: Tunggu Belanjawan, Kata Menteri

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed yakin kerajaan akan mengambil jalan terbaik berhubung isu cadangan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mustapa berkata penelitian perlu diberikan memandangkan terdapat kekangan dalam pengambilan dari Akaun 1 itu, yang melibatkan pesara dan golongan sasaran iaitu rakyat terhimpit.

“Antara isunya, kita difahamkan kira-kira 70 peratus daripada pencarum yang menyimpan di KWSP ini mempunyai simpanan kurang dari RM50,000 dan perkara ini bukan mudah diputuskan.

“Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) sudah pun beritahu dan beri gambaran awal, apapun, kita tunggu pengumuman Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok. Pasti ada pengumuman mengenainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Beliau berkata setakat ini KWSP mempunyai seramai 14.5 juta pencarum, namun yang masih mencarum hanya 8 juta saja.

“KWSP ini simpanan hari tua dan memandangkan jangka hayat kita semakin panjang, ia perlukan wang mencukupi untuk hari tua, oleh itu kita harus mempunyai jumlah duit mencukupi.Setiap rakyat harus mempunyai amaun yang mencukupi bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah kewangan yang besar semasa hari tua,” kata Mustapa. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1504