Kerajaan Komited Teruskan Pelaksanaan 15 Pakej Kerja Lebuh Raya Pan Borneo Sabah

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Kerajaan Persekutuan komited meneruskan pelaksanaan 15 pakej kerja bagi projek lebuh raya Pan Borneo Sabah secara konvensional dengan kos keseluruhan RM10.12 bilion susulan penamatan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) sebelum ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kos itu akan dibiayai sepenuhnya kerajaan Persekutuan menggunakan peruntukan perbelanjaan pembangunan.

“Bagi memastikan pelaksanaan lebih efisien maka tadbir urus bagi pelaksanaan projek akan diteruskan seperti diputuskan kerajan Persekutuan melalui mesyuarat jemaah menteri

“Kerajaan Persekutuan juga memutuskan Kementerian Kerja Raya sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai pegawai penguasa (SO) untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek dari segi pengoperasian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu sekiranya kerajaan Persekutuan berhasrat menurunkan kuasa kepada Kementerian Pembangunan Industri Sabah untuk menguruskan sendiri pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Fadillah berkata bagi memastikan kesinambungan dan pelaksanaan projek, tindakan susulan beterusan sedang dilaksanakan bagi menambah baik kaedah pelaksanaan yang telah diputuskan sebelum ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1236