Pasukan Sabah Jadi ‘Mangsa’ COVID-19

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 jelas memberi impak kepada Sabah selepas pasukan itu ‘terkorban’ apabila tidak dapat meneruskan aksi terakhir Liga Super bertemu UiTM FC sekali gus turut tidak akan menyertai Piala Malaysia musim ini.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani yang mengesahkan permohonan laluan khas skuad Sabah untuk menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Susulan itu, UiTM FC diberi kemenangan 3-0 namun keputusan terbabit tidak menjejaskan kedudukan Sabah untuk bertanding dalam Liga Super pada musim depan memandangkan mereka menamatkan saingan di tangga ke-10 dan terselamat daripada penyingkiran.

“Permohonan pengecualian bagi Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan Liga Super yang tertunda tidak dap at dimainkan, jadi UiTM FC diberikan kemenangan 3-0.

“Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA pada 29 Oktober 2020) sudah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia.

“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu Sabah di pusingan pertama Piala Malaysia diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke peringkat suku akhir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama membabitkan 16 pasukan iaitu 11 dari Liga Super manakala lima pasukan Liga Perdana sehingga suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 November.

Dalam perkembangan lain, Ghani mengesahkan Ahli Lembaga Pengarah memutuskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa.

Katanya, tiada penyingkiran buat pasukan Liga Perdana susulan keputusan Liga Bolasepak Amatur (AFL) yang membatalkan saingan Liga M3 musim ini pada Jun lalu.

“Tiada penurunan dari Liga Perdana pada musim ini tetapi format biasa iaitu dua pasukan di tangga ke-11 dan ke-12 Liga Super turun ke Liga Perdana sementara dua pasukan teratas Liga Perdana beraksi di Liga Super kekal seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, timbul cadangan daripada enam pasukan supaya tiada penyingkiran dari Liga Super ke Liga Perdana sekali gus bakal menyaksikan Liga Super akan dibarisi 14 pasukan bagi musim depan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *