Final Piala FA : Sawit Kinabalu Taja 2,000 Tiket Percuma Kepada Penyokong Sabah FC

Victor semasa bertemu Hajiji baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu menaja 2,000 tiket percuma kepada penyokong Sabah FC di Semenanjung bagi menyaksikan aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad ini.

Perlawanan akhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dianggap signifikan bagi Sabah memandangkan peminat menunggu hampir 27 tahun untuk melihat pasukan Sang Badak kembali ke pentas final kejohanan berprestij berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Victor Ationg berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan penyokong yang berada di Semenanjung dapat hadir bagi memberikan sokongan moral kepada pasukan.

Katanya, sumbangan berkenaan selaras dengan aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah menyumbang bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi, tetapi juga dalam bidang sosial dan sukan.

“Bagi menyemarakkan semangat kesukanan serta sokongan kepada pasukan, Sawit Kinabalu menyediakan 2,000 tiket kepada penyokong Sabah FC di Semenanjung untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA pada 14 Disember ini.

“Kita berharap lebih ramai penyokong Sabah FC dapat memenuhi Stadium Nasional sebagai suntikan semangat kepada pemain bagi mencipta kemenangan,” katanya.

Sawit Kinabalu juga ialah penaja utama Sabah FC musim ini, manakala Victor memikul tanggungjawab sebagai Pengurus Sabah FC sejak Ogos lalu.

Victor berkata, beliau berharap pemain dapat menampilkan aksi terbaik bagi menghasilkan jaringan dan membawa pulang trofi yang menjadi idaman para penyokong.

Meskipun JDT dianggap pencabar paling kuat, katanya, Sabah FC tetap memiliki peluang untuk mencipta kejutan di pentas final.

“Inilah masa terbaik untuk kita mencipta sejarah selepas 27 tahun menunggu peluang berada di final Piala FA. Jika berjaya mengatasi JDT, ia pasti menjadi detik bersejarah buat Sabah,” katanya.

Sabah FC mara ke final selepas menewaskan Selangor FC 5-4 melalui penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 30 November lalu.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *