KOTA KINABALU: Sabah FC berjaya mengekalkan rentak kemenangan selepas membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.
Gol Sabah bermula seawal minit kedua permainan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani.
Sabah meraih sepakan penalti selepas pemain sayapnya, Gabriel Peres dijatuhkan pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali.
Namun, tuan rumah dikecewakan pada masa tambahan separuh masa pertama apabila KDA FC menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Jose Cleylton sebelum wisel waktu rehat dibunyikan pengadil.
Pada babak kedua, serangan awal Sabah dimanfaatkan penyerang importnya, Joao Pedro untuk jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-48.
Bagaimanapun, kedudukan 2-1 itu hanya seketika apabila KDA FC menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-62 menerusi jaringan Milos Gordic selepas pergelutan dengan penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Enam minit berselang, Pedro meledak gol kedua peribadi untuk meletakkan Sabah mendahului 3-2.
Dua lagi gol Sabah menyusul di hujung perlawanan menerusi S Kumaahran pada minit ke-83 dan Gary Steven Robat pada masa kecederaan.
Hasil kemenangan 5-2 itu, Sabah bukan sahaja berjaya mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, tetapi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu juga kekal di tangga ketiga liga dengan mengutip 23 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost