
KOTA KINABALU: Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan SM Lok Yuk, Likas, di sini, semalam.
Operasi itu dilaksanakan ketika program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei di lokasi berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, tindakan itu diambil susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran program terbabit.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati program berkenaan dikaitkan dengan kumpulan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah dan diwartakan pada 2007.
“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan, membabitkan 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.
“Program ini turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) serta ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, dalam operasi itu pihak berkuasa turut merampas 24 kain rentang (banting) yang memaparkan pengasas serta pemimpin tertinggi kumpulan berkenaan.
Selain itu, katanya, kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut turut dirampas bersama dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Syed Lot menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan panduan agama daripada sumber sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan terhadap sesuatu ajaran atau fahaman.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah