37 PTI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Imigresen di KK dan Tawau

Antara warga individu yang diperiksa oleh anggota penguat kuasa JIM Sabah dalam operasi bersepadu di sekitar Kota Kinabalu dan Tawau, baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Seramai 37 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Selera yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu dan Tawau.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dijalankan Penguatkuasa JIM Sabah bersama JIM Tawau itu membabitkan pemeriksaan di 17 premis.

Katanya, sepanjang operasi berkenaan seramai 190 individu diperiksa sebelum 37 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan 12 wanita warga Filipina, tujuh lelaki warga Pakistan, tiga lelaki warga India serta lima wanita warga Indonesia.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JIM Sabah bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) selain memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi serta menggaji PTI.

“Tindakan tegas akan terus diambil khususnya membabitkan isu keselamatan dan pelanggaran undang-undang imigresen.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *