
TUARAN: Aktiviti seorang bekas renjer hutan mengumpul pelbagai bahagian haiwan liar dilindungi sejak puluhan tahun lalu terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa di sebuah rumah di Kampung Wokok Batangan, Batu 3 Jalan Timbok, di sini.
Dalam serbuan kira-kira jam 7.15 pagi itu, lelaki tempatan berusia 60 tahun ditahan bersama pelbagai bahagian haiwan dilindungi bernilai lebih RM550,000.
Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai bahagian haiwan hidupan liar dilindungi.
“Antara yang dirampas ialah 55 pasang tanduk disyaki tanduk rusa, tiga batang disyaki sumbu badak, 330 keping sisik tenggiling, tulang serta gigi gajah, tengkorak beruang, tengkorak gajah dan beberapa bahagian haiwan lain.
“Turut ditemukan bangkai serta kulit ular sawa selain tanduk kijang, tanduk tambadau dan hempedu disyaki hempedu beruang,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, hasil temu bual awal mendapati suspek memperoleh bahagian haiwan itu dengan membeli daripada penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah selain mengumpul mana-mana bahagian haiwan yang ditemui untuk dijadikan koleksi peribadi.
“Suspek dipercayai mula mengumpul bahagian haiwan liar itu ketika berkhidmat sebagai renjer hutan sejak 1986 sebelum bersara pilihan pada 2019 akibat masalah kesihatan,” katanya.
Mohd Zaki berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM589,230 manakala nilai sebenar sitaan berjumlah RM550,100.
Katanya, semua rampasan bersama suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah kerana memiliki dan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa permit sah,” katanya.
Menurutnya, operasi bersepadu itu berjaya mengekang kegiatan penyimpanan dan pemilikan bahagian hidupan liar dilindungi tanpa permit sah,” katanya.
Menurutnya, operasi bersepadu itu berjaya mengekang kegiatan penyimpanan dan pemilikan bahagian hidupan liar dilindungi tanpa lesen di sekitar daerah berkenaan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah