Polis Buru Lelaki Pukul dan Ugut Bunuh Remaja Depan Kedai di Ranau

Rakaman video menunjukkan mangsa dipukul di hadapan kedai terbabit.

RANAU: Polis sedang giat memburu seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian memukul dan mengugut bunuh seorang remaja lelaki di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai penimbang sawit dipercayai diserang secara tiba-tiba ketika membeli barangan dapur.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.56 petang, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa terserempak dengan suspek sebelum lelaki terbabit secara tiba-tiba memarahinya tanpa sebab.

“Suspek kemudian mengeluarkan buku lima berwarna keemasan dan mengugut mangsa dengan berkata, ‘kau mau ini, lama sudah saya tidak kasi mati orang, kau mau mati ka’.

“Selepas itu, suspek menyimpan semula buku lima berkenaan sebelum bertindak menumbuk dan menendang mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka pada bahagian bibir serta mengadu sakit di bahu kiri dan belakang badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Mursalin berkata, polis kini sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan selain mengesan saksi bebas yang melihat kejadian.

“Mangsa juga telah diberikan borang Pol.59 untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Ranau,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 34 saat memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dipukul di hadapan sebuah kedai, dipercayai berlaku di Ranau.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *