Covid-19: Sabah Kekal Catat Kes Tertinggi Iaitu 304 Kes

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini kekal tiga angka iaitu sebanyak 589 kes dan Sabah terus kekal mencatatkan kes tinggi iaitu 304 kes atau 51.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 18,129 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 589 kes baharu yang dilaporkan, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang semuanya membabitkan warga asing.

“Sehingga kini, seramai 103 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 31 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 409 kes sembuh COVID-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah tertinggi pernah dicatatkan sejak penularan wabak berkenaan di negara ini.

Jumlah kes sembuh tertinggi pernah dilaporkan di negara ini ialah 350 kes yang dicatatkan pada Selasa lalu.

Beliau berkata, pertambahan kes sembuh itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12,014 kes bersamaan 66.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Daripada jumlah kes pulih itu, antara negeri yang mencatatkan kes sembuh ialah Sabah iaitu 111 kes, diikuti Selangor iaitu 50 kes, Terengganu lima kes, Johor mencatatkan lapan kes dan Pahang satu kes,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

781