Seramai 1,869 Individu Ditahan Langgar SOP Di Sabah – Hazani

Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Sabah telah menangkap seramai 1,869 orang individu yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac sehingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, setakat ini seramai 1,210 orang telah menjalani pertuduhan di mahkamah. Manakala, sebanyak 1,454 kompaun telah dikeluarkan sepanjang tempoh yang sama.

Semalam, 47 kompaun dikeluarkan di Sabah atas kesalahan sama iaitu melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan dilakukan, tahap pematuhan SOP rakyat Sabah masih berada pada tahap yang tinggi.

Katanya, dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, polis kontinjen Sabah tidak akan berkompromi dan bertolak ansur terhadap pihak yang ingkar mematuhi SOP ditetapkan.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Pada masa ini, polis kontinjen Sabah menggerakkan sebanyak 248 pasukan pemantauan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), KKM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi lain yang terlibat. Pasukan itu dianggotai oleh seramai 1,800 petugas.

Beliau turut menasihatkan rakyat Sabah agar duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk berada di luar.

Sekiranya keluar rumah, semua individu harus mematuhi SOP ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial serta sentiasa mengelakkan kawasan 3S (Sesak, Sempit & Sembang jarak dekat) dan mengamalkan 3W (Wash, Wear & Warn).

Katanya, pematuhan kepada SOP amat penting dalam usaha melandaikan lengkuk kes jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Setakat semalam, sebanyak 5,493 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 3,242 kes aktif.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *