Stacy, Zizi Kirana Risaukan Keluarga Di Sabah

Stacy & Zizi Kirana

Kuala Lumpur: Penyanyi Stacy Anam, 30, dan Zizi Kirana, 35, merasa sangat luluh dengan nasib menimpa negeri kelahiran, Sabah, yang berdepan situasi peningkatan kes Covid-19.

Stacy berkata, dia mendoakan ‘mimpi ngeri’ yang sedang dilalui rakyat di negeri kelahirannya itu cepat berlalu memandangkan ramai keluarganya tinggal di sana.

“Ini adalah situasi yang sangat dahsyat menimpa seluruh rakyat Sabah sekarang. Bahkan, ibu saya sendiri yang kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur membantu saya di rumah terkandas disebabkan situasi sekarang.

“Saya sangat berharap semua rakyat Sabah memberikan kerjasama mematuhi arahan tidak keluar rumah demi keselamatan masing-masing. Keluarga saya sendiri kini berkurung di rumah disebabkan bimbang dengan keadaan itu.

“Tiada lain yang saya doakan selain penduduk di sana akan terus menjaga diri dan semoga kes jangkitan akan menurun. Jaga keselamatan diri dan jangan jadikan keadaan lebih teruk dengan tidak memberikan kerjasama membendung penularan itu,” katanya.

Bagi Zizi, dia cukup sedih mengenangkan keadaan yang dilalui keluarganya di Semporna apabila kawasan itu diisytihar sebagai zon merah.

Menurutnya, bekalan keperluan rumah di sana turut terjejas buat masa sekarang.

“Saya ada menghubungi keluarga di sana dan diberitahu berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan keperluan rumah. Semestinya ia memberi kesan apalagi kini mereka terpaksa berkurung di kediaman masing-masing.

“Paling saya risaukan adalah nenek disebabkan dia mengalami penyakit nyanyuk. Takut nanti dia terlupa mengenai perintah kerajaan itu dan keluar merayau disebabkan sudah terbiasa dengan aktivitinya di luar rumah.

“Saya doakan semoga semua penduduk di sana selamat termasuklah barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang malam di Semporna,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4429