KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 kluster di seluruh negara dikenal pasti berpunca daripada kes indeks dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah.
Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan COVID-19.
“Bagi membantu menangani isu ini dan dengan mengambil kira situasi kenaikan jumlah kes COVID-19 di Sabah, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan COVID-19 di pintu masuk antarabangsa dan domestik.
“Mereka juga diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband) dan perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.
“Langkah ini telah bermula 11 Oktober sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak,” jelasnya.
Dr Noor Hisham turut menegaskan situasi semasa berkaitan isu ini dipantau rapi oleh pihaknya dan sebarang perubahan akan diumumkan dengan segera.
Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 394 kes positif COVID-19 yang melibatkan pengujung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah sejak 22 September dan daripada jumlah itu, sebanyak 228 kes adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba sebelum 27 September.
Sebanyak 166 kes (42.1 peratus) lagi adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba selepas 27 September.
“Secara keseluruhan sehingga 13 Oktober, seramai 18,478 individu dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah telah disaring di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik,” jelasnya. – AWANI
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost