PRK Batu Sapi: Warisan Menang Tanpa Bertanding, Petunjuk Politik Matang – Penganalisis

KOTA KINABALU: Parti-parti politik khususnya di Sabah perlu lebih matang dalam mencatur hala tuju politik mereka apabila melibatkan emosi rakyat negeri itu yang kini terbeban dengan penularan wabak COVID-19.

Pilihan Raya Kecil Parlimen P185 Batu Sapi perlu dijadikan sebagai langkah pertama parti-parti politik untuk bertindak matang, kata Penganalisis politik Mohammed Raheezal Shah Abdul Karim.

Beliau berkata, kematangan politik tersebut turut melibatkan parti-parti yang memerintah kerana terdapat desas-desus mengatakan bahawa PRK tersebut mungkin ditangguh atas sebab pengisytiharan darurat di negeri itu.

“Saya rasa tidak perlu sampai ke tahap isytihar darurat untuk Sabah hanya kerana hendak mengelakkan PRK berlaku.

“Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) telahpun menyatakan tidak akan menyertai PRK ini.

“Cuma yang tinggal hanyalah parti seperti Parti Bersatu Sabah dan beberapa lagi parti belum nyatakan sokongan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Raheezal bagaimanapun tidak menolak situasi semasa COVID-19 semakin memburuk dan belum menunjukkan ia akan melandai dalam tempoh terdekat, namun menjangkakan proses demokrasi itu akan dilaksanakan lebih awal.

“Mengambil kira keadaan COVID-19 yang semakin teruk di Sabah dan mengambil kira mandat cuma tinggal dua tahun setengah, bukan sahaja saya malah ada ramai berpendapat ianya akan diadakan lebih awal.

“Oleh itu, jika kematangan dan kemanusiaan dijadikan asas menjelang PRK Batu Sapi, saya kira adalah lebih baik dibiarkan Warisan menang tanpa bertanding,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pentadbiran Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika dihubungi, berkata fokus pentadbiran kini bertumpu kepada usaha menangani isu COVID-19.

“Buat masa ini pentadbiran negeri sedang sibuk mengurus masalah COVID-19 hingga tidak terfikir tentang apa-apa yang berkaitan dengan PRK Batu Sapi,” katanya.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya, berkata PRK Batu Sapi boleh ditangguh jika kerajaan mengisytiharkan darurat di negeri itu.

Satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Batu Sapi dijadualkan berlangsung jam 10 pagi esok. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9478