Peluru Perang Dunia ke-2 Ditemui Dalam Tandas Di Labuan

Sejumlah peluru dipercayai peninggalan Perang Dunia ke-2 ditemui dalam tandas awam di Labuan. (Gambar IPD Labuan)

LABUAN: Sebanyak 22 butir peluru lama ditemui di atas lantai sebuah tandas awam di Anjung Ikan Bakar, Kampung Lubok Temiang di sini, hari ini.

Peluru terbabit ditemui seorang pekerja Majlis Perbadanan Labuan kira-kira jam 9 pagi ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan tandas itu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Muhamad Farid Ahmad berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sebanyak 22 butir peluru berukuran 7.62 mm dan 2 butir lagi berukuran 20 mm ditinggalkan di atas lantai tandas berkenaan.

“Keadaan peluru yang masih disaluti tanah dan berkarat dipercayai dijumpai di tempat lain sebelum ditinggalkan di situ.

“Semua peluru berkenaan dipercayai peninggalan Perang Dunia ke-2 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Muhamad Farid menasihatkan mana-mana individu yang menjumpai objek yang mencurigakan supaya segera memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3211