KWSP Tutup Sementara Pejabat, Kaunter Di Sabah Mulai Hari Ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat serta kaunter agensi itu di Sabah, mulai hari ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa pejabat serta kaunter yang terkesan ialah di Beaufort, Keningau, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kudat, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Sehubungan itu, katanya, semua permohonan janji temu dalam talian di pejabat dan kaunter KWSP seluruh Sabah akan dibatalkan serta-merta.

“Ahli membuat janji temu di semua pejabat berkenaan yang dijadualkan dalam tempoh PKPB, perlu membuat semula janji temu mereka selepas perintah itu tamat.

“Ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP, iaitu i- Akaun (ahli) dan i-Akaun (majikan) yang beroperasi seperti biasa.

“Pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan Internet atau ejen bank berdaftar di kaunter,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, ahli dan majikan disaran mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP saja.

KWSP sekali gus memberi jaminan akan terus komited memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau saluran digital.

“Pada masa mencabar ini, isu kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi pusat pengurusan pelanggan KWSP melalui talian 03-89226000.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1231