COVID-19: Sabah Terus Catat Angka Harian Tertinggi

KUALA LUMPUR: Sabah terus menyumbangkan angka harian tertinggi dalam keseluruhan jumlah kes baharu, hari ini, dengan melaporkan 291 jangkitan (51.7 peratus), selain beberapa kematian sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia susulan aktiviti saringan dijalankan di lapangan, terutama di pelbagai daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan agensi lain bagi menangani isu peningkatan bilangan kes baharu dan kematian akibat wabak COVID-19 di Sabah.

“Kapasiti katil untuk pesakit COVID-19 di hospital setempat ditambah, iaitu masing-masing sebanyak 978 katil hospital serta 4,010 katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (kadar penggunaan katil adalah 32 peratus), setakat hari ini.

“Hospital medan bersama Angkatan Tentera Malaysia di Semporna turut dibina, selain mempergiat pengesanan kontak rapat, mengasingkan kes positif COVID-19, memberikan rawatan awal dan menambah jumlah alat bantuan pernafasan serta pakar bius di unit rawatan rapi (ICU),” katanya pada sidang media COVID-19, hari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1063