Sekolah Di Sabah Beroperasi Seperti Biasa – KPM

KOTA KINABALU: Semua pejabat dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh Sabah kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan beroperasi seperti biasa.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran khas kepada kementerian bagi tujuan tersebut.

Menurut kementerian itu, kesemua pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas boleh hadir bertugas supaya operasi institusi tidak terjejas.

“Bagi tujuan berkenaan, ketua jabatan akan mengeluarkan surat arahan hadir bertugas. Surat kebenaran khas juga akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid yang tinggal di luar daerah sekolah bagi membolehkan murid merentas sempadan daerah untuk hadir ke sekolah.

“Bagaimanapun, pengoperasian institusi pendidikan di daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna adalah tertakluk kepada PKPD secara pentadbiran yang bermula pada 29 September hingga 12 Oktober 2020,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam kenyataan sama, KPM memaklumkan sebanyak 209 sekolah kerajaan dan swasta di bawah KPM di daerah terlibat telah ditutup berikutan pelaksanaan PKPD secara bersasar.

Sekiranya murid yang tinggal di luar daerah tidak boleh hadir ke sekolah, guru akan menyediakan akses pembelajaran melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah atau home-based learning mengikut kesesuaian.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

10741