Covid-19: 1 Kluster Baharu Dilaporkan Di Sabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua lagi kluster baharu Covid-19, hari ini, yang dilaporkan di Sabah dan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu ialah Kluster Kau Sing di Tawau, Sabah dan Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor.

Beliau berkata, kluster Kau Sing membabitkan kes indeks seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dikesan positif melalui saringan individu bergejala pada 25 September lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dilakukan mendapati enam lagi kes positif dikenal pasti. Daripada tujuh kes terbabit, lima kes adalah individu tempatan dan dua lagi kes membabitkan individu bukan warganegara yang sudah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 27 individu disaring dengan tujuh individu didapati positif, manakala sembilan individu dikesan negatif dan 11 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Kluster Embun pula, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks membabitkan kes ke-11,147 iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada Selasa lalu sebelum beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dilakukan mendapati empat lagi kes positif dikenal pasti dengan semua kes membabitkan individu warganegara yang sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 52 individu disaring bagi kluster ini dengan lima individu didapati positif, manakala 21 individu dikesan negatif dan 26 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *