Pembangkang Terdesak Mahu Raih Undi – Shafie

PUTATAN: Kehadiran ramai pemimpin pembangkang di sini jelas menunjukkan mereka terdesak mahukan undi rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, mereka tahu kuasa sekarang berada di tangan rakyat.

Katanya, sekarang rakyat Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat yang menentukan siapa menjadi wakil rakyat di sini.

“Rakyat Sabah mempunyai hak untuk menentukan siapa pilihan mereka, bukan pemimpin Semenanjung Malaysia yang menentukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Rakyat di Dewan Sri Putatan, hari ini.

Tambahnya, kemunculan nama besar disitu tidak bermakna kerusi Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat penting kerana bagi Warisan setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) penting.

Katanya, setiap 73 kerusi penting bagi Warisan bukan hanya kerusi di Petagas, Tanjung Aru.

“Disebabkan itulah mereka datang sini untuk beritahu orang di sini apa patut kita buat. Tapi, saya rasa orang sabah tahu apa yang mereka mahu. Tidak perlu bagitau saya, apa kita mahu,” jelasnya.

Mengenai usaha kerajaan persekutuan mahu mewujudkan majlis khas bagi mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Mohd Shafie berkata, memang sudah ada jawatankuasa yang diwujudkan sebelum ini.

Namun terpulang kepada mereka untuk membentuk jawatankuasa baharu.

“Apa yang penting kepada kita adalah kita akan memperjuangkan hak kita dan kita akan menuntutnya dengan menggunakan apa sahaja platform yang ada,” ujarnya.

Semasa sambutan Hari Malaysia di Sarawak, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kabinet persekutuan telah bersetuju menubuhkan Majlis Khas MA63 bagi membincangkna isu berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak.

Ia termasuk melihat kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan skeutu, seperti yang termaktub dalam Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *