Dakwaan Shafie Berhubung Isu Filipina ‘Tidak Masuk Akal’, Kata Anifah

Presiden PCS Anifah Aman berkata, ketua menteri Sabah sepatutnya menjadi orang pertama yang memberi respons berhubung isu tuntutan Filipina ke atas negeri itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) menolak dakwaan Presiden Warisan Shafie Apdal bahawa kontroversi yang dicetuskan oleh Filipina berhubung tuntutan terhadap Sabah dipolitikkan pada musim pilihan raya.

Presiden Anifah Aman menyifatkan dakwaan Shafie, yang juga ketua menteri sementara itu sebagai “tidak masuk akal”.

Anifah berkata, “semua orang tahu” episod terbaru mengenai kontroversi itu muncul beberapa minggu sebelum pilihan raya Sabah diadakan.

Isu ini tidak hanya diulas oleh saingan politik Shafie, tetapi juga oleh kebanyakan rakyat Sabah.

“Sebahagian besar rakyat Sabah percaya beliau (Shafie) sebenarnya salah urus masalah itu beberapa kali. Ketika isu itu timbul, rakyat Sabah berasa bimbang dan cemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebagai pihak berkuasa tertinggi di negeri ini, mereka mengharapkan beliau segera bertindak. Beliau tidak melakukannya, menyebabkan banyak pihak tertanya-tanya sebab beliau berdiam diri.”

Shafie, baru-baru ini menyerang beberapa pihak berhubung tuntutan Filipina ke atas Sabah drngan mengaitkan kontroversi itu kepada dirinya semasa musim pilihan raya.

Daily Express memetiknya sebagai berkata: “setiap pilihan raya yang kita lakukan di sini, semua isu ini (berkaitan dengan tuntutan Filipina di Sabah) selalu muncul. Mengapa ia muncul? Sebelum itu, selepas itu, ia tidak muncul. Maksud saya jangan mempolitikkan perkara seperti itu.”

Bagaimanapun Anifah, yang juga bekas menteri luar negeri, berkata, masalahnya bukan mengenai pilihan raya, tetapi bagaimana Shafie dilihat gagal menangani masalah tersebut.

“Walaupun jika beliau (Shafie) dijatuhkan dalam pilihan raya ini, tuntutan Filipina tidak akan berhenti,” kata Anifah.

“Tetapi lebih penting, kita tidak mahu ketua menteri Sabah yang tidak tahu bagaimana menangani isu sensitif dan kontroversi ini.”

Anifah berkata, Shafie seharusnya bertindak balas dengan segera ketika isu itu muncul, tetapi beliau tetap berdiam diri.

“Sebagai ketua menteri Sabah, tidakkah anda rasa beliau seharusnya menjadi orang pertama yang bertindak balas? Beliau boleh memberi alasan bahawa Putrajaya berhak untuk bertindak balas.

“Tetapi tuntutan itu berkaitan dengan Sabah dan beliau adalah ketua menteri Sabah. Semua orang berpendapat beliau seharusnya bertindak balas terlebih dahulu,” katanya.

Kontroversi itu tercetus pada Julai, ketika Setiausaha Luar Negeri Filipina Teodoro Locsin Jr berkata bahawa Sabah “bukan sebahagian daripada Malaysia”.

Awal bulan ini, beliau dilaporkan berkata akan memulakan semula sebuah pejabat di Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri yang dikhaskan untuk tuntutan ke atas Sabah.

Putrajaya berulang kali menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf atau mengakui tuntutan Filipina ke atas Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *