Polis Nafi ‘Lockdown’ Kinabatagan & Lahad Datu

Maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

LAHAD DATU: Orang ramai diminta berhenti menyebarkan maklumat palsu berhubung sekatan keluar masuk di Kinabatangan dan Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, terdapat usaha tidak bertanggungjawab segelintir individu yang cuba mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai dengan menyebarkan maklumat palsu berkenaan.

NASRI MANSOR

“Selepas pengumuman beberapa penutupan dan sekatan jalan raya (SJR) diumumkan berkuatkuasa tengah malam tadi, ada pihak yang mengambil kesempatan memasukkan maklumat ‘lockdown’ di dua daerah ini sebelum menyebarkan menerusi media sosial.

“Justeru, saya beri amaran kepada pihak berkenaan, hentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu,” katanya kepada media, hari ini.

Antara maklumat palsu berkenaan adalah berkaitan tiada pergerakan keluar atau masuk ke Kinabatangan terutamanya Lahad Datu.

Selain itu, mesej berkenaan turut mendakwa orang luar tidak dibenarkan masuk Lahad Datu dan sebaliknya.

Nasri menasihatkan orang ramai agar segera merujuk Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Lahad Datu atau polis berkaitan sesuatu perkara sebelum menyebarkannya.

“Selain itu, maklumat sahih juga akan dikongsikan dengan pihak media untuk tujuan penyebaran maklumat kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak tiga jalan ditutup manakala empat sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Lahad Datu berkuatkuasa tengah malam, semalam berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19.

Keputusan itu dibuat PKOB Lahad Datu dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 di daerah berkenaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *