PRN Sabah Kejutan Besar Sebelum Penamaan Calon

KOTA KINABALU: Menjelang 24 jam sebelum hari penamaan calon, ada kejutan besar hari ini dengan kemungkinan Perikatan Nasional (PN) akan bertembung dengan sekutunya Barisan Nasional (BN) di tiga kerusi manakala Warisan Plus akan menggunakan tiga logo pada pilihan raya negeri (PRN)  ini.

Satu lagi kejutan ialah bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman tidak tersenarai sebagai calon BN kerana tidak ‘membuat permohonan’ manakala namanya juga tidak ada dalam senarai calon PN.

Persoalannya atas tiket apakah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga itu akan bertanding kerana Musa sendiri telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Manila pada PRN kali ini.

Setakat 7 malam ini, usaha Bernama untuk menghubungi Musa bagi mendapatkan ulasan gagal.

Mengenai kemungkinan pertembungan BN dan PN di tiga kerusi iaitu Tulid, Sook dan Paginatan, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata parti itu akan cuba mengelakkan pertembungan berlaku dan masih ada masa untuk berbuat demikian.

Pemerhatian Bernama mendapati Hajiji kelihatan agak terperanjat apabila ditanya pemberita mengenai kemungkinan berlaku pertembungan tersebut semasa beliau mengumumkan 29 kerusi yang bakal ditandingi PN pada PRN Sabah, dengan Sabtu ini merupakan hari penamaan calon dan 26 Sept sebagai tarikh mengundi.

Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang merupakan parti komponen PN akan menggunakan logo PN semasa bertanding pada PRN itu manakala BN iaitu rakan sekutu PN akan menggunakan logo sendiri.

“Jangan (ada calon BN dan PN) bertembung kerana kita mahu menang (dalam PRN Sabah), kami akan melihat perkara ini. Pencalonan pada hari Sabtu, kami akan cuba untuk lakukan yang terbaik untuk semua,” kata Hajiji.

Sementara itu, Warisan Plus akan menggunakan tiga logo pada PRN kali ini dengan Warisan, DAP dan Amanah akan bertanding di bawah logo Warisan manakala sekutu mereka PKR dan UPKO masing-masing akan menggunakan logo sendiri.

Setakat ini, UMNO akan bertanding di 31 kerusi, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) (5) – kedua-duanya atas tiket BN – sementara PN  di 29 kerusi.  Parti Cinta Sabah pula akan bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.   

Di kem BN/PN, hanya Parti Bersatu Sabah (PBS) belum mengumumkan senarai calon mereka walaupun menurut jadual asal pengumuman itu sepatutnya dilakukan petang ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahankan kerusi Senallang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  lalu manakala Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan akan bertanding di DUN Lamag di bawah kawasan parlimennnya.

Hajiji dan  Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula masing-masing akan mempertahankan kerusi Sulaman dan Tambunan yang dimenangi mereka pada PRU14.

Sementara itu, Warisan meletakkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking yang juga Ahli Parlimen Penampang sebagai calon DUN Moyog, manakala bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi di kerusi DUN Segama. 

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula diberi kepercayaan oleh BN untuk bertanding di kerusi Usukan.

Dalam perkembangan terbaharu malam ini, MCA komponen BN mengumumkan bertanding di empat kerusi iaitu Kapayan, Elopura, Karamunting dan Likas.

Parti Bersatu Sabah (PBS), rakan sekutu PN, pula mengumumkan bertanding di 15 kerusi dengan menggunakan logo  sendiri.

Kerusi-kerusi itu ialah Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Api-Api, Tanjung Aru, Kapayan, Limbahau, Kundasang, Melalap, Telupid dan Karamunting. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *