Jenazah Sandra Dikebumi Di Sabah

Selepas hampir seminggu tidak sedarkan diri, Sandra meninggal dunia di unit rawatan rapi, Hospital Putrajaya, awal pagi tadi.

PUTRAJAYA: Jenazah penyanyi Sandra Dianne yang meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada jam 1 pagi hari ini akan dibawa pulang ke Sabah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kg Kauluan, Tuaran.

Menurut jurucakap Sony Music Entertainment Malaysia, Veea Norman, dia mewakili pihak keluarga meminta doa semua agar segala urusan pengebumian Allahyarham dipermudahkan.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin mengesahkan Sandra Dianne meninggal dunia pada hari ini, 11 September 2020  pada jam 1 pagi di Hospital Putrajaya. 

“Jenazah akan dibawa pulang ke Sabah dan akan dikebumikan di Kg. Kauluan, Tuaran. 

“Pihak keluarga Sandra memohon untuk semua mendoakan agar segala urusan pengebumian dipermudahkan dan memohon maaf bagi pihaknya jika ada salah dan silap. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah,” katanya.

Selepas koma dan kritikal akibat kemalangan Sabtu lalu, penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir, hari ini.

Berita sedih itu nyata memilukan ramai rakan selebriti lain termasuk rakan karibnya Neeta Manisha, Zizi Kirana, serta rakan seperjuangannya dalam program Big Stage 2020.

Penyanyi Hey! Kau itu dilaporkan terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya. 

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Sandra dan sepupunya dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk latihan penuh konsert Big Stage. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3512