SOP PRN Sabah Dilaksanakan Dengan Ketat – SPR

KUALA LUMPUR: Garis Panduan Pencegahan COVID-19 akan dilaksanakan dengan ketat sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bermula esok sehingga 26 September ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, berkata ia membabitkan semua proses pilihan raya iaitu taklimat petugas, penamaan calon, pengeluaran dan pengiraan undi pos serta semakan isi peti undi.

Katanya, ia merangkumi semua proses pilihan raya termasuk ketika cetakan dan semakan kertas undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

“Memandangkan PRN Sabah akan dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penekanan yang serius perlu diberikan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Perkara utama yang diberi keutamaan adalah pematuhan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, proses saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran bagi semua aktiviti serta proses berkaitan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PRN Sabah adalah pilihan raya ketiga bakal dijalankan dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP) selepas pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai dan PRK DUN Slim, 29 Ogos lalu.

Ikmalrudin berkata, bagi proses penyerahan borang kertas penamaan, terdapat prosedur tertentu yang perlu diikuti calon dan penyokong parti masing-masing.

“Proses penyerahan borang kertas penamaan akan berlangsung seperti mana sebelum ini, namun semua calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama penyokong masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan.

“Hanya calon, seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon saja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata, SPR melalui 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap garis panduan khas ini.

“Sepanjang tempoh berkempen, setiap calon bertanding dibenarkan membuka bilik jawatankuasa (bilik gerakan parti) dengan perlu mematuhi penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, menjalani saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran.

“Bagi aktiviti ceramah pula, jumlah kehadiran peserta hendaklah tidak melebihi 250 orang pada satu masa dan tempat, tertakluk kepada keluasan ruang dan memastikan peserta mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk aktiviti berceramah adalah wajib, manakala aktiviti ziarah ke rumah pengundi, calon atau wakil tidak dibenarkan untuk bersentuhan atau bersalaman dengan penghuni rumah,” katanya.

Katanya, calon digalakkan memaksimumkan strategi kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media sosial.

Selain itu, katanya pengawalan ketat akan turut dijalankan oleh petugas pilihan raya pada hari mengundi.

“Petugas akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi.

“Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan dan mereka akan diuruskan pegawai kesihatan.

“Individu di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian (PUI) serta individu bergejala dalam rawatan tetapi ingin mengundi, perlu memohon kebenaran pegawai kesihatan daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, SPR akan mengemaskini garis panduan ini selaras dengan arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan maklumat lanjut boleh didapati dari laman sesawangnya,www.spr.gov.my. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *