Parti Cinta Sabah Tanding Semua 73 Kerusi DUN

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden PCS Datuk Seri Anifah Aman berkata, seramai 70 calon telah ditentukan, manakala tiga lagi calon masing-masing melibatkan DUN Banggi, Matunggong dan Sulaman, masih sedang dinilai parti itu.

Bekas Menteri Luar itu berkata, beliau akan bertanding di DUN Bongawan, dan Naib Presidennya Datuk Dr Ewon Ebin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bertanding DUN Kundasang.

“(Timbalan Presiden PCS) Datuk Seri Wilfred Bumburing tidak bertanding dan mahu pastikan calon di kerusi masing-masing menang, ini pengorbanan besar dan kita angkat (Bumburing) sebagai calon Parlimen nanti,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PCS di sini.

PRN Sabah bakal menyaksikan pertandingan 73 kerusi DUN, dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan Sabtu ini, untuk penamaan calon dan 26 Sept sebagai hari mengundi.

Anifah berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk meletakkan calon di semua kawasan, kerana mahu menunaikan permintaan penyokong parti di kawasan-kawasan berkenaan, yang mahukan calon PCS.

“Saya percaya semua kawasan di Sabah menginginkan calon daripada PCS. Kita mahu berkhidmat untuk rakyat…oleh itu rakyat tidak akan ragu lagi untuk memilih kita, sekiranya kita ada calon di semua kawasan.

“Saya yakin kita akan menang di semua kawasan.. kerana kita mau parti tempatan Sabah tanpa dibantu parti dari Semenanjung, yang mentadbir negeri ini dan itu yang rakyat Sabah mahukan,” tegasnya.

Beliau berkata, mentadbir Sabah tanpa campur tangan parti dari Semenanjung bukan bererti mahu bermusuhan dengan parti daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan bekerjasama dengan kerajaan pusat, namun kita tidak mahu mereka campur tangan… kita mahu mentadbir negeri sendiri,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4995