Jeffrey Tak Gembira Dapat 8 Kerusi Tapi Akur

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata walaupun tidak begitu gembira dengan perkembangan itu beliau tetap akur demi semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).

KOTA KINABALU: Presiden STAR Jeffrey Kitingan mengesahkan parti itu meletakkan calon di 8 daripada 29 kerusi akan ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, walaupun tidak begitu gembira dengan perkembangan itu, beliau tetap akur demi semangat setiakawan dalam PN.

“Ya di 8 kerusi (ditandingi), kita tidak gembira tapi kita mesti mengambil kira sebagai 1 pasukan.

“Kita akan kekal dalam PN kerana PN ini diwujudkan oleh kami (STAR),” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon PN oleh Ketua PPBM Sabah Hajiji Noor hari ini.

Jeffrey berkata, STAR sepatutnya diberi peluang untuk bertanding di lebih banyak kerusi khususnya kawasan majoriti Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

“Kita sepatutnya boleh bertanding di kawasan seperti Bengkoka dan Kadamaian, tapi keputusan ini sudah dibuat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya ketiadaan PAS dalam senarai calon PN diumumkan Hajiji, beliau berkata keputusan dibuat kerana PAS tidak sesuai dengan sentimen di Sabah.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan PN yang terdiri daripada PPBM, STAR dan SAPP akan bertanding di 29 kerusi pada PRN 26 September ini.

Bagaimanapun, berlaku pertindihan kerusi antara parti itu dengan Umno di DUN Paginatan dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di DUN Tulid serta Sook.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *