Musa Tidak Tersenarai Calon UMNO

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman tiada dalam senarai 31 calon UMNO yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengumumkan senarai calon di sini berkata, Musa tidak tersenarai kerana tidak pernah memohon untuk menjadi calon UMNO atau Barisan Nasional (BN).

 Bung menunjukkan senarai calon UMNO dalam sidang media di Kota Kinabalu. - Gambar oleh Teo Hock Soon
SENARAI CALON: Bung menunjukkan senarai calon UMNO dalam sidang media di Kota Kinabalu. – Gambar oleh Teo Hock Soon

“Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman tidak memohon untuk menjadi calon UMNO dan BN,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin BN dan Bersatu.

Seorang lagi pemimpin UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga tiada dalam senarai calon.

Sementara itu, seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia akan bertanding di Usukan.

Bung yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Sabah berkata, beliau hanya mengumumkan senarai calon UMNO BN sahaja manakala calon parti komponen, MCA dan PBRS akan diumumkan presiden parti itu masing-masing.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor yang turut bersama pada majlis itu juga mengumumkan calon mereka di ibu pejabat parti itu di Alamesra.

Sambil itu, Bung berkata, 95 peratus calon UMNO yang tersenarai adalah muka baharu termasuk dua wanita iaitu Hazulizah Md Dani yang akan bertanding di Sekong dan Chaya Sulaiman di Kukusan.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut membuat penampilan pertama bertanding untuk DUN Lamag.

Hanya empat muka lama yang kembali tersenarai iaitu Datuk Seri Salleh Said Keruak di DUN Usukan, Datuk Jumat Idris (Darau), Datuk Kamarlin Ombi (Lumadan) dan James Ratib (Sugut).

Bung berkata, calon yang dipilih dilihat dari segi latar belakang, mesra rakyat dan yang paling penting, calon itu diterima oleh rakyat dan mampu menang.

Sambil itu, Bung dalam ucapannya sebelum itu berkata, menentukan calon dan agihan kerusi adalah perkara yang paling sukar dalam hidupnya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta agar semua ahli UMNO tidak mempertikaikan keputusan calon yang dibuat pemimpin parti.

“Saya minta maaf kepada kawan-kawan saya, perkara paling sukar dalam hidup saya ialah menentukan agihan kerusi dan tentukan calon yang bertanding.

“Saya yakin Bersatu Barisan boleh menang…tidak tahu berapa kerusi tetapi kami akan menjadi kerajaan,” katanya.

PRN Sabah mempunyai 73 kerusi DUN.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3918