Jahid Mohon Tangguh PRN Sabah

Datuk Jahid @ Noordin Jahim

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid @ Noordin Jahim mengemukakan permohonan untuk menggantung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan pada 26 September ini.

Permohonan itu dibuat bagi membolehkan rayuannya dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman serta 31 ADUN lain berhubung pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu didengar dan diputuskan mahkamah.

Melalui permohonan yang difailkan pada Isnin lalu, Jahid menamakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha DUN, Datuk Bernard J Dalinting selaku responden pertama hingga ketiga.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka untuk menggantung keputusan Juhar membubarkan DUN.

Sementara itu, Jahid turut memohon untuk menggantung keputusan Juhar membubarkan DUN dan menggantung notis pilihan raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan pembubaran DUN berkenaan.

Permohonan Jahid itu akan didengar Mahkamah Persekutuan esok.

SPR sebelum ini menetapkan pada 12 September ini bagi hari penamaan calon manakala pengundian akan diadakan pada 26 September ini.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2393