PRN Sabah PN, BN Bertembung Di 3 Kerusi

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Tiga kerusi yang diumumkan Perikatan Nasional (PN) untuk ditandingi turut menyaksikan Barisan Nasional (BN) daripada UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meletakkan calon mereka.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan menyaksikan pertembungan antara PN dan BN/UMNO, manakala Sook dan Tulid antara PN dan PBRS.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor yang mengumumkan kerusi PN, berkata beliau tidak tahu mengenai pertembungan itu.

“Saya belum mendapat maklumat, jadi saya tidak dapat memberikan komen berkaitan pertembungan itu,” katanya pada sidang media pengumuman calon PN, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga kerusi berkenaan diagihkan kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk ditandingi di bawah PN.

Bagaimanapun, Hajiji berkata pertembungan sesama PN dan BN wajar dielakkan.

“Perkara ini mesti diselesaikan, satu daripada PN atau BN mesti keluar kerana kita mahu menang,” katanya.

Jelasnya, perkara itu sudah dibincangkan sebelum ini dan semua bersetuju supaya pertembungan dielakkan.

Bagaimanapun, katanya isu itu masih boleh diselesaikan sebelum penamaan calon pada Sabtu ini.

Sementara itu, mengenai khabar angin bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mahu menyertai BERSATU dan bertanding atas tiket PN, Hajiji menafikan perkara itu.

Katanya, tiada kemungkinan Musa dicalonkan BERSATU kerana senarai calon sudah diumumkan.

Pada sidang media itu, Hajiji mengumumkan 29 kerusi bakal ditandingi PN yang merangkumi BERSATU, STAR dan Parti Maju Sabah.

Hajiji sendiri mempertahankan kerusi DUN Sulaman, manakala Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun mempertahankan kerusi DUN Karanaan.

Antara pemimpin lain BERSATU yang mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Mohd Ariffin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Dua penyandang yang sebelum ini meninggalkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya turut dicalonkan semula.

Mereka ialah Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik).

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula mempertahankan kerusi DUN Tambunan.

Senarai penuh kerusi ditandingi PN ialah Tanjung Kapor, Bandau, Pintasan, Sulaman, Petagas, Kawang, Membakut, Klias, Kuala Penyu, Karanaan, Nabawan, Labuk, Segama, Silam, Senallang, Bugaya, Apas, Merotai dan Sebatik.

Selebihnya ialah Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Sri Tanjung, Moyog, Paginatan, Tulid, Luyang dan Tanjung Papat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

569