‘PN Mampu Ambil Alih Sabah Menerusi Kerjasama Gabungan Parti’

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Hamzah Zainudin (kiri) ketika sidang media pada Majlis Perhimpunan PN Sabah di Kota Kinabalu. – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) yakin kerjasama bersama parti di Sabah membolehkan gabungan itu berupaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata apabila pakatan itu dibentuk awal tahun ini, antara yang pertama menyertai gabungan adalah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Parti Progresif Sabah (SAPP) kerana turut menyertai PN.

“Walaupun Parti Bersatu Sabah (PBS) belum bergabung tetapi mereka menyokong PN,” katanya sambil menjelaskan sokongan terhadap pakatan itu adalah atas nama PN.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata demikian ketika berucap pada program Perhimpunan PN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.

Perhimpunan itu turut menyaksikan logo PN dilancarkan.

Sementara itu pada sidang media, Hamzah berkata sambutan program begitu luar biasa dan agak mengejutkan.

“Saya bangga apabila melihat sambutan yang menggalakkan dan luar biasa kerana ada orang kata PN ini orang tak kenal.

“Tapi semua rakyat telah mengenali dan mengetahui PN yang memerintah negara hari ini, maka sebab itu logo PN yang kita keluarkan hari ini adalah untuk membuktikan kita mahu berada di sini dan ini bukan main-main.

“Walaupun orang boleh mengatakan apa sahaja tetapi yang penting PN adalah kerajaan yang memerintah dan akan bersama parti yang ada di Sabah untuk mengambil alih semula kerajaan negeri hari ini,” katanya.

Yang turut hadir, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee; Jeffrey; Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim.

Ditanya mengenai ketidakhadiran UMNO pada program itu, Hamzah berkata apa yang penting adalah sokongan parti itu terhadap PN walaupun mereka tidak hadir.

“Kita sudah menjelaskan mereka menyokong kita. Walaupun mereka tidak berada di sini tetapi mereka menyokong kita (PN) adalah cukup baik.

“Apa yang paling penting ialah niat dan sokongan mereka untuk memastikan kita berganding bahu adalah perkara paling penting untuk mengambil alih kerajaan negeri ini,” katanya. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

882