Polis Sabah Terima 25 Kenderaan Peronda Baharu

Hazani bergambar dengan Ketua Polis Daerah yang menerima MPV baharu di IPK Sabah.

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima 25 kenderaan peronda polis (MPV) baharu jenis sedan 1.8 bagi melaksanakan kerja pencegahan jenayah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, dengan penerimaan itu, Kontinjen Sabah khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) kini mempunyai keseluruhan 225 kenderaan.

Antara kereta kendaraan baharu yang diterima.

“Sebagai petugas barisan hadapan kita memang berharap MPV ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu masyarakat dalam pencegahan jenayah dan untuk memperlihatkan aset yang ada bagi memastikan penjenayah tidak meneruskan kegiatan mereka.

“Kita harapakan akan mendapat perolehan selepas ini dan JPJKK Sabah akan membuat pengagihan semula untuk daerah-daerah yang difikirkan perlu,” katanya.

Menurutnya, 25 kenderaan peronda ini akan diagihkan kepada 10 Ibu Pejabat Polis (IPD) seluruh Sabah termasuk dua di IPK Sabah sendiri manakala IPD Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan masing-masing akan menerima empat kenderaan.

Antara kereta kendaraan baharu yang diterima.

“Lahad Datu, Semporna, Labuan serta Tuaran akan menerima dua kenderaan bagi setiap IPD dan setiap satu untuk Penampang, Beaufort serta Papar,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan beliau mengesahkan seorang pegawai kanan polis di Keningau dikuarantin selepas dipercayai positif COVID-19.

“Pegawai terbabit kini dikuarantin dan tiada jangkitan setakat ini manakala semua kontak rapat sudah diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan COVID-19,” katanya sambil menambah segala langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan orang ramai agar menerima keputusan pendengaran hujahan mengenai rayuan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Mahkamah Rayuan Putrajaya dengan hati terbuka dan tidak menyebabkan sebarang keadaan serta situasi tidak diingini.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan MPV di IPK Sabah. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1083