PRN Sabah: Pertembungan Lebih 2 Penjuru Dijangka Di Semua Kerusi

Semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini dijangka ‘panas’.

KOTA KINABALU: Perebutan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka membabitkan pertandingan lebih daripada 2 penjuru ketika semua parti sedang memuktamadkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini.

Menerusi pengumuman dibuat oleh parti bertanding, pemerhati politik menjangkakan pertandingan antara 3 hingga 5 penjuru bagi semua kerusi.

Malah, mereka meramalkan kerusi seperti Api-Api dijangka sekurang-kurangnya 8 hingga 9 penjuru, begitu juga di Tanjong Kapor di daerah Kudat.

Pemerhati berpendapat selain Warisan Plus dan gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN), mereka menjangkakan ada parti lain akan bertanding di semua 73 kerusi. Ia termasuk Gagasan Sabah.

Parti lebih kecil seperti Parti Cinta Sabah (PCS) sudah memberi bayangan akan meletakkan calon di 60 kerusi. LDP, Usno serta Parti Harapan sedang mengintai untuk bertanding di 40 kerusi.

Selain itu, pemerhati juga berpandangan sekurang-kurangnya 2 atau 3 calon bebas akan bertanding di setiap 73 kerusi.

Walaupun Warisan Plus, BN-PN dan PCS akan mengumumkan senarai calon, sumber daripada kumpulan ini mengatakan rundingan sedang berjalan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung berkata, parti kecil dan bebas dijangka berdepan kesukaran untuk mendapat sokongan dalam kalangan pengundi di Sabah.

“Calon bebas tidak mempunyai banyak masa untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.

“Pengundi di sini lenih cenderung untuk memilih parti atau nama atau tokoh politik dikenali,” katanya memaklumkan Warisan Plus akan memiliki kelebihan jika undian berpecah dalam pertandingan lebih 2 penjuru.

Dalam hal ini juga, beliau berkata Presiden PCS Anifah Aman dan pemimpin lain seperti Pandikar Amin Mulia yang mengetuai Usno dan Liew Yun Fah daripada Parti Harapan akan memberi kesan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2477