PRN Sabah: Minta 120, Kerusi Yang Ada 73 – Annuar Musa

Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, meminta semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) supaya bertenang dalam soal pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, adalah lebih baik parti gabungan ‘tidak bising’ dalam soal pengagihan kerusi sebaliknya biarlah ia diselesaikan dalam suasana tenang.

Beliau berkata, rundingan akan dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan kesepakatan mampu dicapai demi memastikan kemenangan.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut memberi isyarat supaya parti komponen harus berlapang dada untuk memberikan ruang pengagihan kerusi dibuat secara adil demi kebaikan bersama.

Bagaimanapun, mesej Twitter Annuar itu memberi gambaran kesepakatan belum diperoleh menjelang penamaan calon pada Sabtu ini.

“Saya cuba menghitung, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) nak 18; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) nak 45, Parti Bersatu Sabah (PBS) nak 30, PAS nak 10.

“Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) nak 11, MCA nak enam kerusi…dah 120 sedangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah cuma ada 73.

“UMNO nak minta berapa kalau parti yang menang satu atau dua kerusi pun nak berbelas-belas, maka kita berunding setakat yang boleh, tenang-tenang, jangan bising, ” katanya dalam hantaran itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan PN belum memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan gabungan.

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara WARISAN menang di 21 kerusi. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *