‘Cuba Kau Masuk Kampung Pedalaman’ – Abang Veveonah Cabar Dua Timbalan Menteri

Abang Veveonah Mosibin mencabar dua Timbalan Menteri yang mendakwa adiknya berbohong demi meraih publisiti untuk turun padang sendiri ke kawasan tersebut.

KUALA LUMPUR: “Cuba kau masuk kampung pedalaman,” itu cabaran dilontarkan abang Veveonah Mosibin kepada dua Timbalan Menteri yang mendakwa adiknya berbohong demi meraih publisiti.

Menerusi muat naik status di Facebook peribadinya, Mekvin Mosibin mahu Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Abdul Rahim Bakri turun sendiri ke perkampungan untuk melihat realiti sebenar kehidupan penduduk di sana.

“Kalau kau YB, turun padanglah. Masuk semua kampung pendalaman dan kau akan rasakan kehidupan orang kampung. Baru kau tahu.

“Bukan juga kau mau tahu surat menyurat, mesej dari orang yang tidak tepat. Kau YB, tanggungjawab mu itu terlalu besar.

“Bukan untuk menang dalam undian sahaja, sudah menang kau pilih yang kau suka saja,” memetik luahan hati di Facebook milik Mekvin.

Bukan hanya masalah jaringan internet, Mekvin turut mendakwa masih terdapat kawasan yang tidak memiliki infrastruktur asas yang sempurna.

“YB ke atau Timbalan Menteri, cuba kau masuk kampung pendalaman. Lai lai lai, mai mai mai, tapi jangan pilih kampung pula.

“Mesti seluruh tempat kekuasan mu itu, sampai lubang cacing kau datang turun padang.

“Cuba ambil pengalaman melayar internet di kampung pedalaman pula bagaimana rasanya kepada YB atau Timbalan Menteri. Itu baru internet belum lagi bekalan air, bekalan elektrik,” katanya.

Justeru, beliau menasihati kedua-dua wakil rakyat itu untuk tidak hanya menerima maklumat daripada orang bawahan tanpa turun padang dan melihat sendiri permasalahan yang dihadapi rakyat.

Semalam, Zahidi menjelaskan beliau menerima maklumat berkaitan Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet daripada Abd Rahim yang juga ahli Parlimen Kudat.

Menurutnya, maklumat itu diterima selepas merujuk wakil rakyat di Kudat yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1, yang memaklumkan bahawa Veveonah merupakan seorang Youtuber selain pada hari tersebut tidak ada peperiksaan.

Beliau turut memberitahu, wakil rakyat terbabit mendapat tahu perkara itu daripada pensyarah di institusi pengajian tinggi pelajar itu.- AWANI

https://web.facebook.com/mekk.vin/posts/3067867530002559

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2848