Musa, 32 ADUN Kecewa Rayuan Ditolak

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mahkamah Tinggi mengenai keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam bagaimanapun berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

“Semalam, Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan kami. Semestinya kesemua 33 ADUN termasuk saya amat kecewa namun kami menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Perkara ini sekarang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk mendengar perbicaraan kes ini secepat mungkin kerana sebarang penangguhan perbicaraan hanya menafikan proses menuntut keadilan.

“Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan memperakui pelantikan saya sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 adalah sah dan mengikut Perlembagaan Sabah.

“Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 26 Ogos menerusi penghakiman bertulis bertarikh 1 September memutuskan bahawa wujud persoalan berkaitan asas kepentingan perlembagaan yang perlu didengari di peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Musa dalam kenyataan media terbabit memperincikan perkara yang terkandung dalam penghakiman bertulis itu antaranya membabitkan tatacara Tuan Yang Terutama menyingkirkan beliau sebagai Ketua Menteri, dan sama ada pelantikan Shafie sebagai pengganti adalah ‘ultra vires’ (di luar kuasa), terbatal dan tidak terpakai.

“Perkara ini kini bakal diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan yang mana peguam saya sudah meminta supaya sesi pendengaran diawalkan.

“Sehubungan itu, saya memohon Ketua Hakim Negara memberikan tarikh perbicaraan lebih awal berbanding apa yang sudah ditetapkan,” katanya.

Musa turut menyatakan pendiriannya, bahawa penyingkiran beliau adalah tidak mengikut Perlembagaan Sabah.

“Justeru, sesiapa yang mengangkat sumpah selepas penyingkiran saya adalah tidak lebih daripada sekadar perampas yang tidak sepatutnya diberi kebenaran untuk menjalankan tugas secara sahih mengikut perundangan sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Tindakan membenarkan individu sedemikian menjalankan tugas berasaskan perlembagaan sebagai Ketua Menteri bakal mengundang kesan berpanjangan seperti yang kita saksikan pada masa kini,” katanya.

Musa menyatakan harapannya supaya rayuan mengenai kesahihan sebagai Ketua Menteri Sabah didengari dengan segera di samping menegaskan kes ini penting untuk rakyat Sabah.

“Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran susulan 10 persoalan berkaitan penyingkiran saya yang tidak mengikut perlembagaan Sabah selaku Ketua Menteri Sabah yang sah.

“Masyarakat perlu diingatkan bahawa kes ini mempunyai kaitan dengan perkara sebelum ini yang kini di peringkat perbicaraan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Semalam, dilaporkan Mahkamah Rayuan menolak rayuan difailkan 33 ADUN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu. – BH Onine

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *