Pemandu Ambulans Rogol Gadis Pesakit COVID-19 Dalam Perjalanan Ke Hospital

KERALA: Seorang pemandu ambulans di India ditahan selepas didakwa merogol pesakit COVID-19 di daerah Pathanamthitta, di sini.

Kejadian pada Sabtu lalu itu berlaku ketika dua pesakit wanita mangsa COVID-19, masing-masing berusia 19 tahun dan seorang lagi perempuan tua, dibawa ke dua hospital rawatan COVID-19 berbeza oleh pemandu ambulans terbabit.

Tertuduh, yang dikenali sebagai Noufal, 25, pada mulanya menghantar perempuan tua itu ke hospital.

Sebelum menghantar gadis berumur 19 tahun itu ke hospital rawatan COVID-19, dia membawanya ke kawasan terbiar dekat Lapangan Terbang Aranmula, dan merogolnya.

Berdasarkan keterangan aduan, tertuduh kemudian menghantar gadis terbabit ke hospital rawatan COVID-19.

Menurut polis, gadis terbabit pada mulanya menjalani kuarantin di rumah saudaranya di Pandalam, sebelum disahkan positif jangkitan COVID-19 Sabtu lalu dan terpaksa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Tertuduh dilaporkan diberkas sehari kemudian susulan aduan gadis terbabit dan kes difailkan mengikut pertuduhan serangan seksual dan rogol.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Kerala, KK Shylaja, mengakui terkejut dengan kejadian terbabit dan mengarahkan jabatan berkaitan memecat pemandu berkenaan daripada perkhidmatan ambulans.

Susulan laporan terbabit, Suruhanjaya Kebangsaan bagi Wanita (NCW), berkata pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah Polis Kerala mempercepatkan penyiasatan dan pertuduhan kes berkenaan.

“NCW India mengambil maklum berhubung laporan bahawa seorang pemandu ambulans dituduh merogol pesakit COVID-19 berusia 19 tahun di Aranmula, dekat daerah Pathanamthitta, Kerala.

“Pengerusi kami, Rekha Sharma, sudah menghubungi Ketua Pengarah Polis Kerala supaya pertuduhan dan penyiasatan kes ini dapat dipercepatkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4285