Dari Pramugari Ke Politik, Rowindy Calon UPKO Membakut?

MEMBAKUT: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin terasa dengan hanya berbaki beberapa hari sebelum proses penamaan calon dilaksanakan pada 12 September ini.

Ramai tokoh muda dan wanita yang dikatakan bakal diketengahkan oleh parti-parti masing-masing untuk bertanding PRN kali ini.

Antara parti politik Sabah yang sentiasa memberi peluang kepada tokoh muda menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat ialah Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Dalam pada itu, Puan Rowindy Lawrence Odong, Pegawai Khas kepada Caretaker Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dan bekas Pramugari MAS disebut-sebut sebagai calon UPKO untuk bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) 31 Membakut.

Rowindy merupakan Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE), Ahli Jawatankuasa Biro Perundangan dan Institusi Kehakiman, Ahli Jawatankuasa Majlis Hubungan Antara Parti dan Pengantarabangsaan dalam Parti Upko.

Selain Rowindy, beberapa lagi nama pemimpin muda UPKO di kawasan lain turut disebut-sebut antaranya Nelson W Angang (Kuala Penyu), Sualim Gopog (Paginatan), Felix Joseph Sitin (Telupid), Bensom Inggam (Kuamut), Albert Bingkasan (Inanam), Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (Tambunan), Mapaham Ruminzing (Bengkoka), Dr Peter Jr Naintin (Sg Manila), Padis Majinkin (Tandek) dan Datuk Lucas Umbul (Kemabong).

Rowindy, 38, berasal dari Kampung Bandau Membakut menyatakan kesediaan untuk bertanding di DUN Membakut sekiranya diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti itu.

Beliau yang lebih dikenali panggilan “Belle” di kampungnya berkata, beliau dicalonkan oleh beberapa Ahli Majlis Tertinggi UPKO dan Exco Wanita UPKO.

Sementara itu, Ketua Wanita UPKO Pusat Datin Juliana Jani menyokong agar lebih ramai calon wanita muda seperti Rowindy diketengahkan dan diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

“Sudah tiba masanya lebih ramai wakil wanita muda diberi peluang bersuara dalam Kabinet bagi mengangkat permasalahan wanita dan keluarga.

“Ini selaras dengan manifesto Wanita UPKO iaitu Memperkasakan Institusi Mahkamah Anak Negeri dalam pengurusan melibatkan isu wanita dan keluarga,” katanya.

Pada masa yang sama, Ketua Generasi Muda UPKO Bahagian Kimanis Russel Flavian turut menyatakan sokongan kepada Rowindy.

“Jentera Generasi Muda UPKO Membakut telah siap siaga membantu memastikan kemenangan berada di pihak kerajaan Warisan Upko pada kali ini.

“Saya sangat yakin kak Belle boleh membangunkan Membakut kerana kepimpinannya yang begitu konsisten dalam memperjuangkan hak-hak orang setempat. Suara beliau yang begitu lantang dalam menyuarakan rintihan rakyat untuk menuntut kesenangan buat penduduk di Membakut,” katanya.

Russel berkata, muka baru yang ditampilkan sudah pasti mampu membawa kemajuan di Membakut atas pemikiran yang kreatif dan kritis.

“Sudah tentu anak-anak muda dan semua lapisan masyarakat akan tertarik dengan personaliti dan kewibawaan beliau yang peramah dan “good listener”.

“Saya juga percaya di bawah kepimpinan kak Belle, Membakut dapat terus dimajukan, membangun dengan lebih baik dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Rowindy ahli Upko sejak 2010 merupakan Penolong Setiausaha Exco Wanita UPKO Pusat dan Ketua wanita UPKO Bahagian Kota Kinabalu berkata, beliau melihat kawasan membakut masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding daerah-daerah berdekatan yang lain.

Beliau berkata: “Jika saya dipilih untuk menjadi calon dan menang dalam pilihanraya ini, saya akan bersama pimpinan Warisan Upko PH memastikan dan berusaha sedaya upaya membangunkan DUN Membakut dalam semua aspek termasuk keperluan asas, infrastruktur dan Pendidikan”.

“Selain itu saya amat prihatin terhadap permasalahan wanita terutama golongan ibu tunggal dan anak-anak muda di daerah kecil Membakut.

“Siapa pun yang akan dipilih oleh Ketua Menteri untuk bertanding di DUN 31 Membakut, saya berharap bakal wakil rakyat kawasan ini dapat memberi tumpuan kepada semua kawasan di daerah kecil Membakut,” katanya. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *