Guna Mykad Palsu, Ibu Tunggal Merengkok Dalam Penjara 20 Bulan

KOTA KINABALU: : Seorang ibu tunggal warga Filipina terpaksa merengkok di penjara selama 20 bulan selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu yang dibelinya bernilai RM5,000.

Tertuduh, Rowena Llenado, 38, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret, hari ini.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki MyKad palsu di atas nama Rowena Llenado pada 3 Julai 2020 di sebuah rumah beralamat di L2-0, Blok L, Universiti Apartment 2 (UA2), 88400 Kota Kinabalu, Sabah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000, atau kedua-dua sekali.

Tertuduh turut mengaku membeli kad pengenalan berkenaan daripada bapa saudara kepada bekas suaminya bernilai RM5,000.

Mengikut fakta kes, semakan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati semakan kedua-dua cap ibu jari tertuduh tiada di dalam rekod jabatan.

Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan JPN Negeri mendapati nombor kad pengenalan 820728-12-6006 atas nama Rowena Llenado ini belum pernah dikeluarkan kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan sijil kelahirannya adalah bukan warganegara.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdulah memohon hukuman berat dan maksimum diberikan terhadap tertuduh kerana menggunakan dokumen MyKad palsu.

“Penggunaan kad pengenalan palsu berstatus warganegara oleh individu bukan warganegara pastinya menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara kita.

“Mengambil iktibar dengan kes tembakan seorang pegawai bank pada 2013 oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu.

“Oleh itu, saya mohon hukuman berat dan maksimum diberikan agar dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam PJ Pereira merayu agar hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 20 bulan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *