Itu Bukan Syarikat Musa, Saya Tak Lulus Permohonan Tanah 20,000 Ekar – Osman Jamal

Surat permohonan tanah seluas 20,000 ekar di Tongod yang didakwa dimohon syarikat milik Musa Aman pada 1997 yang tersebar di media sosial.

KOTA KINABALU: Bekas pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, Osman Jamal menafikan beliau pernah meluluskan permohonan tanah seluas 20,000 ekar di Tongod kepada sebuah syarikat yang didakwa milik bekas ketua menteri, Musa Aman ketika menjadi pengerusi Yayasan Sabah pada 1997.

Beliau turut menyifatkan dakwaan Corak Nahkoda Sdn Bhd yang memohon tanah itu dimiliki Musa sebagai fitnah.

Katanya, syarikat itu sebenarnya dimiliki 3 dewan perniagaan, iaitu Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah yang diwakili Musa sebagai pengerusi, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun yang diwakili Ajit Galun serta Dewan Perniagaan Cina Sabah yang diwakili Mohamad Sari Tan Anuar.

“Untuk makluman, pengarah Jabatan Tanah dan Ukur tidak mempunyai kuasa meluluskan permohonan tanah seluas 20,000 ekar, sebaliknya kuasa sedemikian adalah hak Kabinet negeri.

“Surat yang saya tandatangani juga bukan kelulusan, tetapi arahan pentadbiran memproses permohonan tanah yang lazimnya ditujukan kepada penolong pemungut hasil tanah di daerah berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, surat permohonan tanah seluas 20,000 ekar di Tongod yang didakwa dimohon syarikat milik Musa pada 1997 ketika beliau menjadi pengerusi Yayasan Sabah tersebar di media sosial.

Surat itu turut mendedahkan syarikat yang memohon tanah itu mempunyai 3 pengarah, iaitu Musa, Ajit dan Sari.

Osman berkata, permohonan tanah itu diluluskan kerajaan negeri menerusi Kabinet, dengan geran tanah turut dikeluarkan dan didaftarkan.

Katanya, tanah itu diukur oleh jurukur berlesen yang dilantik Corak Nahkoda Sdn Bhd dan semua tanah adat penduduk kampung sudah dikeluarkan daripada kawasan syarikat terbabit.

Beliau yang juga Adun Balung berkata, Musa tidak pernah marah atau cemburu dengan tindakan Ketua Menteri, Shafie Apdal mengeluarkan geran tanah kepada penduduk kampung.

“Apa yang dibangkitkan Musa dan pihak pembangkang adalah teguran kerana Shafie mengaku dan mengelirukan rakyat bahawa semua itu adalah hasil usaha kerajaan Warisan.

“Kerajaan Warisan sekali lagi berbohong dan mengaku kononnya merekalah yang prihatin terhadap nasib penduduk kampung dalam menyegerakan pengeluaran geran kepada mereka dalam masa 2 tahun dan menuduh Barisan Nasional yang memerintah selama 23 tahun gagal menangani isu geran.”

Beliau berkata, hakikatnya geran yang diberikan Shafie ialah legasi kerajaan BN di bawah pimpinan Musa menerusi kaedah pemberi milikan tanah terancang “Fast Track” untuk pengeluaran geran komunal di bawah pindaan Seksyen 76 Ordinan Tanah Sabah pada 2009.

Katanya, kerajaan BN menerusi penubuhan Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) pada 2011 mengeluarkan hak milik tanah adat kapada penduduk kampung dan menjalankan pengukuran “sub division” geran komunal di bawah Seksyen 77 Ordinan Tanah untuk penerima yang mahu membangunkan sendiri lot mereka.

“Perbelanjaan untuk kos pengukuran dan pengurusan Pantas dibiayai peruntukan kerajaan persekutuan, oleh itu wajar bagi Musa menegur Shafie yang mendakwa semua geran kepada orang kampung adalah hasil usaha mereka.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5342