KOTA KINABALU: Sebuah parti yang kurang dikenali, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), berharap dapat menghasilkan kejutan pada pilihan raya negeri akan datang, kerana menganggap ia sebagai “pejuang sejati hak Sabah”.
Diketuai Ationg Tituh, yang bertanding pada pilihan raya 1990 bawah parti Akar, PGRS mengumumkan ia merancang untuk bertanding di semua 73 kerusi pada 26 Sept nanti.
Ationg beritahu FMT, majlis tertinggi parti mengambil keputusan berani itu pada mesyuaratnya baru-baru ini.
Ationg akan bertanding di kerusi Kuamut di Parlimen Kinabatangan, di mana beliau bertanding dan tewas atas tiket Akar 30 tahun lalu.
Antara calon lain, katanya, bekas pengerusi perhubungan MCA Sabah Francis Goh berkemungkinan akan bertanding atas tiket PGRS dan begitu juga dengan profesional lain.
“Kami ada peluang untuk menang pilihan raya kerana satu-satunya parti tempatan yang memperjuangkan hak negeri. Banyak yang lain bersekongkol dengan parti dari Tanah Melayu. Mereka sama ada bekerjasama dengan Barisan Nasional atau Perikatan Nasional.
“Jadi, saya lihat orang Sabah mula sedar bahawa kita perlukan parti tempatan yang sebenar untuk memperjuangkan hak Sabah. Itulah harapan kami,” katanya.
Selain PGRS, Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) disebut-sebut sebagai third force (italic) berdepan Warisan Plus dan gabungan BN-PN Plus.
PCS, diketuai bekas menteri luar negeri Anifah Aman dan LDP, diketuai bekas ketua menteri Chong Kah Kiat, menolak dakwaan akan bekerjasama dengan gabungan yang berpusat di Semenanjung.
Sebaliknya, mereka memilih untuk bertanding sebagai entiti bebas. Kedua-duanya parti pelbagai kaum.
Ationg, yang merupakan pengerusi perhubungan Parti Progresif Rakyat Sabah pada 2006, berkata kedua-dua PCS dan LDP dapat mendakwa apa sahaja dalam hal memperjuangkan hak Sabah, tetapi berpendapat hanya PGRS yang benar-benar memikirkan kepentingan rakyat Sabah.
“Dalam politik, anda boleh dakwa apa sahaja. Semua parti ini mempunyai sokongan akar umbi masing-masing dari seluruh negeri.
“Parti-parti itu, termasuk PGRS, boleh melabelkan diri mereka sebagai third force (italic) atau apa sahaja tetapi bagi saya, apa yang lebih penting ialah aspirasi parti kami dapat tercapai dengan memenangi pilihan raya negeri ke-16,” katanya.
Ationg berkata walaupun PGRS akan bergerak sendiri, parti itu sedia mempertimbangkan kerjasama dengan parti lain selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
“Itu bergantung pada keputusan. Sekiranya kita perlu membentuk kerajaan, kita akan bergabung dengan parti lain yang mempunyai pemikiran sama dengan kita,” katanya.
PGRS ditubuhkan pada 2009 tetapi hanya diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 3 tahun kemudian.- FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost