AMANAH Guna Lambang WARISAN Tanding PRN Sabah

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) memutuskan untuk menggunakan lambang Warisan semasa bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, penggunaan lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap kedudukan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dan jawatan ini wajar dikembalikan kepadanya.

Beliau berkata, AMANAH bersetuju bahawa kedudukan Ketua Menteri perlu ditetapkan oleh rakyat Sabah, melalui sebuah parti Sabah itu sendiri dan bukan oleh parti dari Semenanjung.

Katanya, walaupun PRN ini satu peluang baik untuk AMANAH memperkenalkan lambangnya, namun sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, mereka akan menggunakan lambang Warisan.

Tambahnya, penggunaan lambang Warisan juga melambangkan penerimaan AMANAH terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama dibelakangkan oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh pemerintahan mereka.

“AMANAH sentiasa berdiri teguh bersama Mohd Shafie dan Warisan dalam berjuang untuk mempertahankan kedaulatan rakyat Sabah yang dicabuli golongan pengkhianat ini.

“Maka, sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, AMANAH telah memutuskan bahawa calon-calon parti ini akan menggunakan lambang Warisan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, AMANAH menolak budaya politik khianat yang telah menyebabkan tumbangnya kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, politik lompat atau khianat ini bukan sahaja mengkhianati parti yang diwakili tetapi juga rakyat jelata.

“Ini adalah kerana kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan dan rakyat dinafi hak mereka untuk mendapat kerajaan pilihan mereka.

“Sabah turut menjadi mangsa politik khianat ini dan kalau tidak kerana tindakan pantas oleh Mohd Shafie maka golongan yang ditolak rakyat telah pun membentuk kerajaan negeri Sabah seperti yang berlaku di peringkat persekutuan,” ujarnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *