Tular Surat Osman Jamal Lulus 20,000 Ekar Tanah Untuk Musa Di Tongod?

KOTA KINABALU: Bolehkah Tan Sri Musa Aman semasa menjadi Pengerusi Yayasan Sabah memohon tanah untuk syarikatnya dan permohonan itu disokong oleh Datuk Osman Jamal ketika menjadi Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) pada tahun 1997?

Demikian persoalan yang timbul selepas sekeping surat daripada JTU bertarikh 20 November 1997 tular yang menunjukkan sebuah syarikat, Corak Nakhoda Sdn. Bhd. (Corak Nakhoda) memohon tanah berkeluasan 20,000 ekar untuk tujuan pertanian.

Selain surat yang ditandatangan oleh Osman itu, turut ditularkan ialah dokumen yang menunjukkan bahawa Musa adalah salah seorang daripada tiga pengarah syarikat itu semasa permohonan dibuat.

Sehubungan itu, blog shahbudindotcom.net yang menularkan semua dokumen berkenaan mendakwa wujud salah guna kuasa antara Musa dan Osman dalam memberikan kelulusan tanah itu kepada Corak Makhoda.

“Lebih menarik lagi, permohonan tanah  itu dibuat ketika Musa Aman menyandang jawatan Pengerusi Yayasan Sabah sejak Mac 1995 sehingga beliau meletakkan jawatannya pada Mac 1999 selepas bertanding atas tiket UMNO di DUN Sungai Sibuga.

“Persoalannya di sini, mengapa Musa Aman yang pada ketika itu memegang jawatan Pengerusi Yayasan Sabah memohon tanah negeri untuk kegunaan syarikatnya sendiri?

“Bukankah ini sudah menjadi suatu kesalahan kerana wujudnya “conflict of interest” dan semestinya kes ini perlu disiasat oleh pihak berkuasa?,” lapor blog berkenaan.

Selain dua surat berkenaan, turut ditularkan ialah sekeping gambar yang menunjukkan peta lokasi tanah tersebut di Tongod.

Sementara itu, blog berkenaan turut mendakwa kemarahan Osman terhadap Kerajaan Warisan yang memberikan geran tanah kepada rakyat terjawab selepas surat berkenaan mendedahkan penglibatannya semasa menjadi Pengarah JTU.

“Osman Jamal ini juga selepas melompat menyokong Musa, turut lantang mengkritik tindakan Shafie Apdal yang memberikan geran tanah kepada rakyat Sabah.

“Sekarang, baru kita tahu mengapa beliau sangat marah apabila Kerajaan Warisan memberikan geran ini kerana beliau juga salah seorang yang terkait dalam skandal tanah negeri Sabah yang diluluskannya kepada rakan-rakan politiknya, termasuk Musa Aman.

“Jadi, sekiranya benar dakwaan ini maka sahihlah rakyat Sabah sebenarnya sudah tertipu sejak berpuluh tahun oleh bekas pemimpin negeri yang berhasrat untuk menjadi Ketua Menteri sekali lagi,” kata blgo itu.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3056