75 Ketua Cawangan WARISAN Kunak Sertai BERSATU

KUNAK, 31 Ogos: Seramai 75 ketua cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak keluar daripada parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas ketua cawangan Kampung Sungai Langgas 2, Hussein Ibnu Hassan, yang mengetuai kumpulan itu, menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam majlis ramah mesra bersama pemimpin Bersatu, di sini, hari ini.

Bernama difahamkan lebih 2,000 ahli Warisan daripada 75 cawangan berkenaan turut menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, Hajiji dalam ucapannya, berkata kemasukan beramai-ramai ke Bersatu itu menunjukkan parti berkenaan semakin diterima rakyat Sabah.

“Di mana-mana tempat yang sudah kita lawati atau berjumpa rakyat, ada sahaja yang mahu menyertai Bersatu dan ini tidak ada sebarang paksaan mahupun tekanan,” katanya.

Beliau menggesa semua ahli Bersatu untuk menyokong calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept ini.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2554