Sabah Mahu ‘Merdeka’, Tentu Hala Tuju Sendiri, Kata MP WARISAN

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis berkata amat mendukacitakan apabila Muhyiddin Yassin menyatakan Sabah perlukan bantuan dan belas kasihan kerajaan persekutuan untuk pembangunan dan ia menggambarkan negeri itu sebenarnya tidak ‘merdeka’.

KOTA BELUD: Ahli Parlimen Kota Belud daripada Warisan Isnaraissah Munirah Majilis menyifakan kenyataan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang Sabah tidak mampu membangun tanpa bantuan kerajaan persekutuan sebagai tidak sensitif dengan keinginan rakyat negeri itu.

Katanya, rakyat Sabah mahukan kemerdekaan sebenar termasuk kerajaan negeri perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk menentukan hala tuju dan pembangunan negeri berkenaan.

Beliau yang juga ketua Warisan Kota Belud berkata, Muhyiddin yang datang ke Sabah sempena Hari Kemerdekaan sepatutnya membawa maksud merdeka sebenar iaitu “membebaskan” negeri itu untuk menentukan hala tuju sendiri tanpa diganggu parti politik yang mentadbir kerajaan pusat.

“Sekiranya beliau (Muhyiddin) benar-benar ikhlas dan memahami perjuangan rakyat Sabah selama ini, maka dia sepatutnya akan memberitahu kita bahawa sudah tiba masanya Sabah mendapat kembali hak seperti mana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama dari segi pengagihan peruntukan yang sama rata antara Sabah, Sarawak dan Malaya.

“Amat mendukacitakan apabila beliau mengatakan kepada kita semua bahawa Sabah perlukan bantuan dan belas kasihan kerajaan persekutuan untuk pembangunan dan ini menggambarkan negeri Sabah sebenarnya tidak ‘merdeka’.

“Kembalikan hak Sabah dan agihkan peruntukan secara adil, kita sudah pasti mampu membangunkan negeri ini tanpa bantuan persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Munirah berkata, kerajaan pimpinan Warisan sedia menjalinkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan secara kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) seperti dinyatakan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin, baru-baru ini.

“Radzi menyatakan isu sekolah usang di Sabah seringkali dibangkitkan di Parlimen dan kementeriannya mempunyai peruntukan untuk membaiki semua sekolah ini.

“Warisan bersama rakan parti lain dalam kerajaan memang sudah bersedia berunding secara ‘G-to-G’ dengan kerajaan pusat dan inilah yang ditekankan ketua menteri, Shafie Apdal kerana pembangunan dan pengurusan prasarana dan infrastruktur di Sabah melangkaui batas politik, ia adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan di dunia,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *